30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pendakwaan terpilih, berniat jahat untuk memalukan saya – Muhyiddin

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendakwaan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan rayuan pembatalan cukai Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sebagai terpilih dan berniat jahat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pendakwaan tersebut merupakan satu tindakan politik berniat jahat dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semata- mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan PN serta Parti Peribumi Bersatu (PPBM).

Katanya, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu PN akan mendapat sokongan padu rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

“Saya yakin dan percaya, dengan izin Allah, Anwar, PH dan parti-parti yang bersekongkol dengannya akan dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya (nanti).

“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memberikan keterangan dan merakam percakapan selama lapan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Mengulas mengenai pendakwaan projek Jana Wibawa, Muhyiddin berkata, usaha menyelamatkan kontraktor bumiputera daripada  bankrap itu dijadikan modal politik seolah-olah mencuri wang negara.

Advertisements

“Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion, kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300juta. 

“Menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank PPBM untuk menghancurkan kami. Inilah jahatnya fitnah,” tegasnya.

Bagi rayuan pembatalan cukai daripada Yayasan AlBukhary yang dinaungi Syed Mokhtar, kata beliau, yayasan tersebut diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan BN sebelum ini.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan PH menerusi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian tersebut.

Ujar Muhyiddin, semasa beliau menjadi PM, Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan berkenaan.

“Saya telah meminitkan – “Sila teliti rayuan ini. Sekiranya teratur, saya tiada bantahan”. Rayuan ini telah dipertimbangkan Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kemudiannya diluluskan.

“Oleh sebab minit saya tersebut, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa. Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi Kementerian Kewangan supaya meluluskan rayuan tersebut,” katanya lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan