31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pembangkang bawa usul isu lawatan PM ke Arab Saudi

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

BLOK pembangkang bakal mengemukakan usul berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal berkata, campur tangan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi (J-KOM) Datuk Dr. Prof Mohammad Agus Yusoff membuktikan segala dakwaan mengenai krisis serta isu berbangkit pada lawatan rasmi itu adalah benar.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, semua dakwaan yang dibangkitkan telah memberi kesan buruk hubungan diplomasi antara kedua-dua negara.

“Bila pembesar J-KOM masuk campur menerangkan perkara ini, itu tandanya ada krisis politik yang melatari lawatan rasmi PM ke Arab Saudi adalah benar. 

“Macam mana Pejabat Perdana Menteri (PMO) boleh suruh Wisma Putra membuat pemakluman media yang ini adalah lawatan rasmi sekiranya tidak dapat bertemu dengan Putera Raja merangkap Perdana Menteri Arab Saudi iaitu Putera Mohamed Salman?

“Ini jelas adalah satu kesilapan diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi selaku sekutu utama kita dalam politik antarabangsa. 

“Kepada apologis Kerajaan Malaysia Madani, kalau nak tahu apa bentuk lawatan rasmi kenegaraan (state visit) boleh belajar daripada lawatan YB Pagoh ketika beliau melawat Arab Saudi pada 2021,” katanya.

Tambahnya, antara protokol yang dilakukan semasa bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan adalah termasuk disambut oleh Perdana Menteri Arab Saudi di lapangan terbang dengan karpet merah.

Selain itu, beliau turut membuat perbandingan lawatan Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri diberi penghormatan untuk masuk ke dalam Kaabah seperti perdana menteri sebelum ini selain mengadakan pertemuan empat mata bersama Putera Mahkota Mohammed di Istana al-Yamamah, Riyadh.

“Ketika YB Pagoh melawat Arab Saudi pada 2021, pengumuman  besar dan utama berhubung hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi di mana ketika PM8 YB Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan kerajaan Arab Saudi yang diwakili oleh YM Putera Raja MBS kita mendapat 10,000 kuota haji tambahan dan kemudahan urusan imigresen buat rakyat kita menunaikan ibadah Umrah dan Haji. 

“Manakala Arab Saudi bersetuju di masa hadapan untuk tingkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318,000 tonnes berjumlah RM900 juta ke 500,000 tan,” kata Ketua Pemuda Bersatu itu. – EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan