27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 26, 2023

KPM teliti cadangan kalendar akademik mula Januari

Belum boleh dilaksanakan tahun hadapan kerana perlu selesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan Akta 550

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula Januari berbanding Mac ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini perkara itu masih belum boleh dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menurutnya, perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM. ).

“Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada Mac untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

“Peraturan ini menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang 190 hari.

“KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, pada 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun itu dilanjutkan sehingga Februari 2022, dengan sesi persekolahan baharu akan bermula Mac.

Sebelum itu, kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan STPM bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar yang melanda Kelantan.

Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.

Pada 2015, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika itu.

-EDISI9

Terkini

McDonald’s Malaysia tawar pengajian diploma kepada alumni program perantis

McDonald's Malaysia buat julung kalinya menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM...

Lagi Artikel Berkaitan