INISIATIF Teknologi Pembungkusan Makanan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara retort bakal diperluas di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, mesin pembungkusan secara retort kini di 13 lokasi terdiri daripada hotel, universiti awam terpilih, badan kumpulan kerajaan (NGO) dan pengusaha katering hasil kerjasama dengan kementeriannya melalui program Food Bank Rahmah.
Jelas Fuziah, beliau meletakkan sasaran pemasangan mesin retort ditambah ke 20 unit di seluruh negara pada tahun ini.
“Harapan saya lebih banyak pemain perhotelan tampil secara sukarela untuk kami memperluaskan penempatan mesin retort ini yang boleh dijadikan aktviti tanggungjawab korporat sosial (CSR).
“Saya sasar 20 pemasangan pada tahun ini. Sekarang sudah ada tiga lagi permohonan yang kita telah terima untuk pemasangan yang menjadi pertimbangan kami dalam proses mendapatkan dana dan lokasi hotel,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Program Foodbank Wakaf Rahmah di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.
Kata Fuziah, sasaran penempatan ini juga akan diperluas hingga luar semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita sedang mengusahakan pemasangan mesin retort ini di Labuan kerana terdapat permintaan,” ujarnya.
Tambahnya, antara lokasi yang dilengkapi mesin retort adalah Primula Beach Hotel di Terengganu, Hitel Le Meridien Putrajaya, Hotel Seri Malaysia Alor Setar, Putra Brasmana Hotel Perlus dan Hotel Seri Malaysia di Lawas, Sarawak dan Putrajaya Marriot Hotel.
Pada majlis sama, kata Fuziah, penempatan mesin retort di Hotel Marriott Putrajaya merupakan hasil sumbangan Yayasan Wakaf Malaysia dengan menggunakan dana Wakaf Tunai Malaysia.
“Yayasan Wakaf Malaysia juga menyerahkan Tatcara Pengurusan Aset Wakaf Alih kepada KPDN untuk kita menguruskan aset ini dengan baik yang dapat menghasilkan lebih banyak lagi makanan, untuk dimanfaatkan kepada golongan yang memerlukan secara berterusan,” katanya lagi. – EDISI9