36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan jangan pinggirkan nelayan – Wan Saiful

Mereka (nelayan) mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan kekecewaan beliau dengan kerajaan yang enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun.

Tindakan itu dilihat seakan-akan meminggirkan golongan nelayan dan gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Wan Saiful berkata, hari ini beliau menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengenai permintaannya agar elaun sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan.

“Permintaan ini datang dari nelayan-nelayan yang saya temui di kawasan saya, Tasek Gelugor.

“Saya kecewa kerana kerajaan enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun.

“Jawapan yang diberikan pun seperti sambil lewa seolah-olah ini isu kecil bagi kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam masa sama beliau turut tidak bersetuju dengan cara menteri berkata “adalah menjadi hasrat kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh kerajaan…”

“Ayat ini memberi gambaran buruk mengenai nelayan, seolah-olah nelayan sengaja mahu bergantung kepada kerajaan dan tidak tahu berusaha sendiri.

“Tidak sepatutnya menteri menimbulkan persepsi buruk sebegini.

“Nelayan-nelayan yang saya temui bukan mudah-mudah saja meminta kenaikan ini.

“Baik nelayan laut mahupun nelayan sungai, mereka bekerja membanting tulang demi mencari rezeki yang halal. Mereka bekerja kuat setiap hari.

“Tetapi kos mereka naik mendadak. Contohnya harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda.

“Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu,”katanya.

Dakwa beliau, kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.

“Jumlah keseluruhan bajet yang mereka bentangkan adalah amat besar.

“Tapi rintihan golongan nelayan yang memohon kenaikan elaun ini nampaknya tidak dipedulikan,”katanya.

Wan Saiful mengulas mengenai jawapan bertulis daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di Dewan Rakyat berhubung permintaannya itu.

Dalam jawapan yang diterima Wan Saiful hari ini, MAFS menyatakan, elaun tersebut masih dikekalkan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut dan RM250 sebulan bagi nelayan darat.

Kementerian itu juga akan sentiasa mengkaji mekanisme dan kaedah yang terbaik bagi menyalurkan bantuan khususnya untuk menangani kenaikan kos sara hidup nelayan.

“Sebarang kenaikan elaun ini mengambil kira kesesuaian dan keperluan pada masa akan datang kerana ia melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

“Pada masa yang sama adalah menjadi hasrat kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh kerajaan selari dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa,” jelas MAFS. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan