JABATAN Kerja Raya Malaysia (JKR) mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul kejuaraan anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2023 di Geneva, Switzerland hari ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, JKR telah menewaskan 900 projek dari seluruh dunia yang turut sama menyertai pertandingan anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) tersebut.
Menurut KKR, dalam pertandingan tersebut, JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik telah menghantar penyertaan yang bertajuk Intelligent Project Supervision and Monitoring System 2.0 atau lebih dikenali sebagai i-Supervision 2.0 di bawah kategori E_Sains.
“Ia merupakan inisiatif kolaborasi bersama JKR dengan syarikat teknologi tempatan OFOTech Sdn. Bhd, tanpa melibatkan sebarang kos di pihak kerajaan.
“Sistem ini telah didaftarkan sebagai Harta Intelek dengan pemilikan bersama antara JKR Malaysia dan OFOTech Sdn Bhd,” kata KKR dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, KKR berkata, i-Supervision 2.0 berupaya memantau projek pembinaan secara komprehensif menggunapakai teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) serta Augmented Reality (AR) dan telah diimplementasikan ke atas beberapa buah projek.
“Antara projek yang diimplemtasikan adalah di Hospital Petrajaya, Kuching, Sarawak; Hospital Lawas, Sarawak dan Pusat Kawalan Penyakit Negara, Nilai.
“Kementerian percaya menerusi i-Supervision 2.0 ia mampu merancakkan industri pembinaan negara ke satu tahap baharu, seiring dengan Revolusi Industri (IR4.0),”katanya.
WSIS adalah platform bagi menilai projek serta aktiviti yang memberi impak besar kepada pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam memacu pembangunan yang lestari.
Organisasi itu juga merupakan satu platform global dalam mengenalpasti dan mempamerkan kejayaan pengaplikasian WSIS Action Lines dan Sustainability Development Goals (SDG).
Pemilihan ini adalah hasil penilaian pakar serta undian secara dalam talian dari serata dunia. – Edisi 9