Saturday, June 13, 2026

Humza Yousaf, pemimpin Islam pertama terajui Scotland

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CALON Islam pertama pemimpin parti politik utama di Britain, Humza Yousaf dijangka mengangkat sumpah selaku Menteri Utama (Ketua Menteri) Scotland hari ini.

Isnin lalu, beliau menang dalam persaingan untuk menjadi pemimpin baru Scotland selain menjadi individu paling muda dan pertama dari latar belakang kaum minoriti, diberi tanggungjawab memulihkan gerakan bagi mencapai kemerdekaan Scotland.

Yousaf, 37, bakal menghadapi perjuangan sukar untuk mengembalikan hasrat Scotland menuntut kemerdekaan, yang kurang diberi keutamaan di bawah kepimpinan sebelum ini di bawah Nicola Sturgeon.

Yousaf menang dengan meraih 52 peratus undi daripada anggota Parti Kebangsaan Scotland (SNP), dalam persaingan sengit berikutan peletakan jawatan secara mengejut oleh Sturgeon, pada Februari.

Beliau juga adalah pemimpin Scotland paling muda, memegang jawatan beberapa bulan selepas Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri Britain paling muda dalam sejarah moden negara itu, apabila beliau melangkah ke Downing Street pada usia 42 tahun.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Yousaf telah menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya sampai ke tahap tersebut.

“Terima kasih kepada keluarga saya yang hebat, rakan-rakan, pasukan kempen dan semua ahli yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan yang menakjubkan ini.

“Apa sahaja yang berlaku, saya tahu SNP akan saling bersama dan bersatu di belakang pemimpin baru kita,” katanya.

Beliau, yang pernah menjadi Menteri Kesihatan dalam Kabinet Sturgeon, menang tipis ke menewaskan Menteri Kewangan, Kate Forbes, untuk menjadi pemimpin SNP, manakala mantan menteri Kabinet, Ash Regan, di tempat ketiga.

Anak kelahiran Glasgow itu mengucapkan sumpah dalam bahasa Inggeris dan Urdu, semasa pertama kali dipilih menjadi Anggota Parlimen Scotland pada 2011, sebelum maju menjadi orang Islam pertama berkhidmat dalam Kabinet negara itu.

-EDISI9

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan