BAR kontroversi yang mahu menganjurkan pembukaan rasmi di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dikesan tidak mempunyai lesen hiburan atau permohonan menjalankan aktiviti hiburan.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, siasatan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati bar berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan atau permohonan menjalankan aktiviti hiburan.
Menurutnya, siasatan DBKL itu juga mendapati, premis tersebut adalah dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd namun lesen tersebut telah tamat pada 4 Februari 2021.
“Justeru itu, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, sebuah bar baharu di Kuala Lumpur sebelum ini menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menggunakan model Thai Hot Guy yang merupakan tetamu undangan penghias poster.
Malah, susulan sikap tidak menghormati bulan Ramadan itu, Pemuda UMNO di seluruh negara akan membuat laporan polis hari ini berhubung acara pembukaan bar menampilkan kumpulan Thai Hot Guy dijangka 30 Mac ini.
Ketua Pergerakan Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu sebagai bantahan terhadap penganjuran majlis itu yang dilihat tidak bermoral.
“Jika tiada sebarang tindakan pembatalan diambil, pihaknya sendiri yang akan berbuat demikian,” katanya.
-EDISI9