PERGERAKAN Pemuda UMNO mendesak sebuah bar baharu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur agar membatalkan hasrat mengadakan majlis pelancaran premis mereka.
Ketua Pemuda, Dr. Muhammad Akmal Salleh berkata, ini kerana majlis pelancaran yang dirancang pada 30 Mac itu turut melibatkan kumpulan lelaki berpakaian seksi dan menyerupai wanita, Thai Hot Guys sebagai tetamu jemputan.
Katanya, Pemuda UMNO tidak teragak-agak datang ke lokasi penganjuran jika penganjur enggan membatalkan niat mereka.
“Esok pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia akan membuat laporan polis terhadap penganjuran aktiviti yang tidak bermoral ini
“Jika tiada tindakan pembatalan daripada pihak penganjur, kami sendiri akan pergi dan membatalkan program tersebut.
“Kita tidak memerlukan orang yang tidak tahu menghormati sensitiviti sesama sendiri. Saya menyeru semua NGO dan parti politik yang lain juga kita bersatu hati menentang perkara yang terkutuk ini. Ini negara kita,maka cara dan budaya kita,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebuah bar baharu di Kuala Lumpur sebelum ini menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menggunakan model Thai Hot Guys yang merupakan tetamu undangan penghias poster
Tindakan tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mengkritik tindakan tersebut sehingga memaksa penganjur menutup ruangan komen mereka di Facebook.
Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini turut membantah penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu. – Edisi 9