Monday, June 15, 2026

Agus sangkal dakwaan Kerajaan Perpaduan gagal

Biarpun pelbagai fitnah ditabur ke atas pemerintah sekarang, Anwar adalah Perdana Menteri terbaik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof. Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff hari ini menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan hari ini sehingga kini telah melaksanakan pelbagai usaha serta pembaharuan untuk kesejahteraan rakyat sejak Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Beliau berkata, antara usaha yang dilakukan ialah meminda Perlembagaan mengenai kerakyatan, menghidangkan Menu Rahmah RM5 kepada golongan miskin tegar, memotong 20 peratus gaji menteri sehingga ekonomi pulih, membawa masuk pelabur dan membina hubungan baik dengan negara luar.

“Selain itu, kerajaan pimpinan Anwar juga menyelesaikan masalah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dengan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga menyemak geran khas tahunan untuk Sarawak dengan menaikkannya kepada RM300 juta manakala bagi Sabah RM260 juta.

“Kedua-dua negeri ini turut diberi autonomi berhubung projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, 24 Februari lalu. FOTO: FB Anwa Ibrahim

Agus berkata demikian bagi menepis dakwaan dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat menilai Kerajaan Perpaduan sebagai gagal.

Agus berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM388 bilion dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara penerima manfaat terbesar.

“Ini adalah antara kejayaan terbesar Anwar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan pihak-pihak yang tanpa melihat perubahan dan pembaharuan besar yang telah dilakukan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, dengan banyak pembaharuan yang dibuat dalam masa hanya tiga bulan sahaja memerintah, adalah tidak wajar kerajaan hari ini dikatakan gagal

“Bajet baru dibentang, dan apabila masuk fasa pelaksanaan, saya yakin bajet ini akan memberikan impak kepada rakyat dan ekonomi kita.

“Jika tak berpuas hati lima tahun akan datang buat pilihan baru. Sekarang, bagi peluang rakyat merasai bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi keluarga kita dan negara.

“Berbanding dengan kejayaan perpaduan pimpinan Anwar, apa kejayaan Muhyiddin?

“Suatu yang nyata berlaku ialah rakyat terjun bangunan, rakyat angkat bendera putih, parlimen tutup kerana darurat, Muhyiddin takut untuk membuat undi percaya di dewan, ramai anak tidak dapat pulang berjumpa keluarga akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat menganggur, dan pelabur lari.

“Selain itu, selama 33 bulan PN-Pas memerintah, lebih RM427juta kes masuk mahkamah.

“Dinilai dari perbandingan ini, biarpun pelbagai fitnah ditabur ke atas pemerintah sekarang, Anwar Ibrahim adalah PM (Perdana Menteri) terbaik.

“Semoga Anwar tabah dalam meneruskan kerja-kerja membela rakyat dan membawa perubahan kepada politik negara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan