25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zambry ke Arab Saudi, bincang potensi ekonomi baharu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi mulai hari ini hingga 23 Februari bagi memperkukuhkan hubungan istimewa dua negara.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Zambry dijadual bertemu rakan sejawatnya Putera Faisal bin Farhan bagi menyusuli perbincangan memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara, termasuk penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) selain menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.

Menurutnya, Zambry akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Selain itu, Menteri (Zambry) akan turut mengadakan pertemuan bersama Jasem Mohamed Albudaiwi, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh bagi menyusul perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan dianjurkan pada tahun ini,” katanya hari ini.

Dalam lawatan itu, Zambry juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan berasingan bersama Ambassador Hissein Brahim Taha, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah dan Sheikh Dr. Mohammed Al-Issa, Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia di Riyadh.

Advertisements

Menurutnya, semasa lawatan ini, Zambry juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahli- ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah, yang dijangka akan menjadi platform bagi ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk meneroka kerjasama perniagaan dan pelaburan baharu khususnya di Arab Saudi.

“Arab Saudi kekal sebagai rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat. Pada tahun 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi telah mencecah RM45.52 bilion (USD10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (USD4.23 bilion) pada tahun 2021.

“Arab Saudi merupakan negara Asia Barat pertama yang dilawati oleh beliau (Zambry) sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada 2 Disember tahun lalu.

“la menggambarkan hubungan istimewa yang wujud selama ini, serta komitmen Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hubungan dua hala Malaysia – Arab Saudi,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan