Sunday, July 19, 2026

Anwar sifatkan lawatan ke Itali capai matlamat

Pertemuan dengan Giorgia Meloni telah membuka ruang kepada perbincangan yang produktif dan menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan dua hari beliau ke Itali sebagai mencapai matlamat khususnya dalam memperkukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik kedua-dua ngara dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama.

Beliau berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri, Giorgia Meloni telah membuka ruang kepada perbincangan yang produktif dan menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala.

Ini termasuk pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari serta pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan.

“Saya menyambut baik pelaburan syarikat-syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI di Malaysia, dan mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat negara ini dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berpaksikan kepakaran dan pemindahan teknologi.

“Kami turut bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati,” katanya dalam kenyataan sebelum berlepas ke Perancis hari ini.

Anwar berkata, kunjungan tersebut memperteguh tekad bersama untuk memperluas kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, berpaksikan semangat persahabatan yang tulus dan saling mempercayai.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa, termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini,”katanya.

Beliau berkata, Malaysia amat menghargai keterbukaan, kesungguhan dan komitmen Itali sebagai rakan kongsi penting dan yakin bahawa hubungan erat ini akan terus berkembang demi kemajuan, kesejahteraan dan masa depan yang lebih cerah bersama.

Semalam, Perdana Menteri bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani mempengerusikan Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia Itali yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi dan pertubuhan industri.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan komuniti Islam di Rom yang diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali–Masjid Besar Rom, Abdellah Redouane.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk kami berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah,”katanya.

Selain Itali, Anwar dijangka mengadakan lawatan ke Perancis sebelum terbang ke Rio de Jenario bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-17 selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan