MALAYSIA diundi bersama pasukan ke-18 dunia, Iran dalam Kumpulan B pada kejohanan antarabangsa, Piala Negara-negara CAFA 2025 yang akan berlangsung bulan depan.
Dua lagi pasukan dalam kumpulan sama ialah Tajikistan dan Afghanistan yang mana aksi kumpulan tersebut.
Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski akan menentang tuan rumah, Tajikistan pada 29 Ogos 2025, Iran pada 1 September 2025 dan Afghanistan pada 4 September 2025 yang mana ketiga-tiganya di Dushanbe, Tajikistan.
Sementara itu, Cklamovski ‘gembira’ dengan keputusan undian yang menyaksikan Harimau Malaya berada satu kumpulan dengan Iran dan tuan rumah aksi kumpulan, Tajikistan.
Beliau berkata, peluang tersebut sudah pasti ditunggu-tunggu kerana inilah masanya kekuatan sebenar anak-anak buah kendaliannya dapat diuji di peringkat lebih tinggi.
“Itulah caranya untuk kita berkembang dan berevolusi sebagai sebuah pasukan, serta terus bergerak ke arah menjadi pasukan yang kita impikan.
“Dan yang paling penting, membentuk sebuah pasukan serta corak permainan yang mampu membuat setiap rakyat Malaysia berbangga apabila menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi,” katanya seperti dipetik dari Facebook Malaysia NT.
Sementara Kumpulan A pula akan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan dengan menampilkan empat lagi pasukan iaitu tuan rumah, Uzbekistan, Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan Oman.
Juara kumpulan akan layak ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Tashkent pada 8 September.
Sementara naib juara kumpulan akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga di Dushanbe, juga pada 8 September 2025.
Malaysia dan Oman merupakan dua pasukan bukan anggota Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) yang diundang menyertai kejohanan tersebut yang kali pertama diadakan pada 2023 lalu. — Edisi 9

