PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan strategik bernilai tinggi dari syarikat-syarikat utama Perancis membuktikan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia yang semakin kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata, sektor seperti aeroangkasa, semikonduktor, automotif, tenaga bersih dan ekonomi digital menjadi tumpuan utama dalam perbincangan bersama rakan sejawatnya, François Bayrou, dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala Malaysia–Perancis.
“Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, ditambah dengan kestabilan politik, dasar mesra pelabur dan ekosistem industri yang dinamik,” katanya menerusi media sosialnya, malam tadi.
Anwar menambah, antara syarikat yang menunjukkan komitmen kukuh di Malaysia termasuk Air Liquide, L’Oréal, Schneider Electric, Axens dan Thales yang telah lama bertapak dan terus meluaskan pelaburan mereka di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia kini muncul sebagai hab utama dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor, serta elektrik dan elektronik (E&E), sejajar dengan transformasi ekonomi negara berlandaskan prinsip kemampanan dan inovasi.
“Kita bukan sahaja menarik pelaburan, malah memacu pembangunan industri melalui pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan bakat tempatan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat Perancis digalakkan meneroka Zon Ekonomi Khas dan taman halal sebagai sebahagian daripada strategi memperluas rantaian nilai ekonomi Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Perancis turut memeterai tiga dokumen penting yang memberi impak langsung terhadap pertumbuhan sektor ekonomi dan teknologi negara.
Antara yang dimeterai termasuk perjanjian antara Malaco dan Carester bagi pembangunan industri nadir bumi tempatan yang strategik serta surat tawaran kepada Thales LAS untuk dua sistem radar jarak jauh baharu bagi meningkatkan keupayaan pemantauan ruang udara negara.
Selain itu, kerjasama antara MATRADE dan Business France yang akan mempergiat promosi perdagangan dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital turut dimeterai.
“Ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi langkah konkrit yang akan menyumbang kepada nilai tambah ekonomi negara dan memperluas jaringan dagang global kita,” jelas Anwar.
Dalam pada itu, Malaysia turut menerima komitmen baharu daripada syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan AirAsia yang masing-masing menyatakan keyakinan terhadap teknologi Perancis menerusi pemerolehan pesawat Airbus.
“Komitmen ini bukan sahaja memperkukuh sektor penerbangan, tetapi juga menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap ekosistem pelaburan Malaysia yang telus dan cekap,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka menyertai rantaian bekalan global serta menjadi sebahagian daripada agenda pelaburan asing.
“Malaysia komited menjadi rakan dagang yang progresif, inklusif dan lestari. Hubungan ekonomi dengan Perancis akan terus diperkukuh demi manfaat bersama dan pertumbuhan yang mampan,” katanya menutup kenyataan. — Edisi 9

