36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Wang UMNO dipulangkan, kedudukan Zahid makin kukuh?

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEDUDUKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO didakwa semakin kukuh selepas parti itu mendapat semula sejumlah wang yang disita sebelum ini selepas dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, keputusan pendakwaan yang menarik balik rayuan membabitkan wang UMNO yang disita baru-baru ini dan memulangkannya semula menyebabkan kantung dana parti itu semakin banyak.

Wan Saiful berkata, dengan keadaan kantung UMNO pada masa kini beliau percaya cengkaman Zahid dalam parti itu akan lebih kuat.

“Dalam era Anwar-Zahid ini, kantung UMNO dipenuhkan dengan dana yang sebelum ini dituduh datang dari 1MDB.

“Dengan dana hampir RM200 juta, cengkaman Zahid dalam UMNO akan lebih kuat,” katanya dalam Facebook, malam tadi.

Ujar Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, pada masa yang sama kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri juga semakin selesa.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan sama ada senario itu akan memberikan kegembiraan buat rakyat.

Terdahulu, media melaporkan pendakwaan telah menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang milik sembilan entiti termasuk UMNO dan Wanita MCA yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pendakwaan telah gagal di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagi melucut hak wang daripada Habib Jewels Sdn Bhd, Hattatex Trading, Wanita MCA, UMNO, Badan Perhubungan UMNO Kedah serta empat individu, Perano Sdn Bhd, Binsabi Sdn Bhd dan K&Z Enterprise Sdn Bhd.

Permohonan untuk melucut hak itu melibatkan sejumlah RM192,965,413.61 milik UMNO, RM300,000 daripada Wanita MCA, RM337,634.78 dan RM827,250 masing-masing daripada Perano, sebuah syarikat yang menjual hijab serta Binsabi yang membekalkan khemah, RM100,000 daripada Habib Jewels, RM138,359.60 daripada K&Z Enterprise, RM827,250 daripada Badan Perhubungan UMNO Kedah dan RM111,590 daripada Hattatex Trading.

Pendakwaan mendakwa wang yang disita adalah perkara atau bukti daripada hasil aktiviti haram yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Minggu lepas, kerajaan turut menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 individu, entiti perniagaan dan parti politik termasuk UMNO Pekan serta Badan Perhubungan UMNO Johor yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan