Thursday, June 18, 2026

Telaah tawaran, cadangan Belanjawan 2023 – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEMUA pihak diajak untuk meluangkan masa menelaah tawaran serta cadangan yang dihidangkan dalam Belanjawan 2023, termasuk kritikan yang bermakna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu agar negara dan ekonominya kembali bangkit, segar dan mampan demi segenap lapisan masyarakat.

“Hari ini saya telah membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. Belanjawan ini dibentangkan selama lebih dua jam yang mencakup serta menjawab beberapa persoalan mustahak yang sedang didepani Kerajaan.

“Permasalahan hutang dan persoalan tatakelola, tantangan semasa dan global serta pengarahan baharu ekonomi, kebajikan serta beberapa prinsip jelas mengenai ketelusan dan pertanggungjawaban, selain penekanan soal merancakkan pertumbuhan dan kos sara hidup yang menghimpit rakyat terbanyak,” katanya dalam Facebook hari ini.

Terdahulu Kerajaan Perpaduan yang diterajuiAnwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lepas.

Ujar beliau, peningkatan itu adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

Anwar berkata Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka pembangunan Malaysia MADANI dan menumpukan kepada 12 ikhtiar utama.

Ia juga berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan atau ketidakseimbangan.

-EDISI9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan