27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Sektor terjejas teruk masih perlukan sokongan – Muhyiddin

Tumpuan utama juga mestilah diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutama sekali golongan rentan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEKTOR-SEKTOR terjejas teruk kesan pandemik COVID-19 masih memerlukan sokongan kerajaan agar terus berada pada landasan pemulihan yang betul, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, antara sektor terbabit ialah pembinaan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan serta sub-sektor pelancongan serta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, masalah-masalah yang mereka hadapi seperti aliran tunai, kekurangan pekerja dan peningkatan kos operasi perniagaan mesti ditangani dengan cekap dan berkesan. 

“Saya percaya dalam poses pemulihan ekonomi negara, sektor-sektor ini masih memerlukan sokongan kerajaan.

“Tambahan lagi dalam menghadapi keadaan ekonomi dunia yang dijangka lebih suram pada tahun ini.

“Kita tidak mahu sektor-sektor yang sedang pulih ini jatuh lagi akibat kemelesetan ekonomi global yang akan turut menjejaskan ekonomi negara kita,” kata beliau dalam Ucapan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap dalam Bajet 2023 nanti, kerajaan dapat menyediakan bantuan-bantuan, sama ada dalam bentuk fiskal atau nonfiskal untuk sektor-sektor ekonomi tertentu bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara kita tidak terjejas atau terbantut.

Beliau berkata, dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi rakyat akibat kesan inflasi, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, tumpuan utama mestilah diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutama sekali golongan rentan.

Advertisements

“Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat awal penubuhan kerajaan dahulu bahawa kerajaan akan mengemukakan langkah-langkah yang komprehensif untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat dalam tempoh dua minggu. 

“Sekarang ini telah menjangkau tiga bulan saya masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Yang kita dengar Menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan sebaliknya mereka mahukan tindakan-tindakan sama ada dari segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, rakyat juga berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik perkenalan menu Rahmah oleh kerajaan yang disifatkan sebagai satu inisiatif yang baik.

“Ya, menu rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu inisiatif yang baik. Tetapi dari segi jangka masa panjang, adakah inisiatif ini dapat bertahan sekiranya kos bahan mentah terus meningkat?

“Justeru, saya harap dalam masa yang terdekat ini, kerajaan dapat mengumumkan langkah-langkah yang lebih konkrit dan menyeluruh untuk mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dan membantu golongan rentan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas Akhyar disamun, Faisal Halim pula disimbah asid

BARU beberapa hari lepas pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, hari ini Faisal...

Lagi Artikel Berkaitan