30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis siasat kenyataan berbaur perkauman di konsert AR Rahman

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS menyiasat tindakan seorang wanita memuat naik video beserta kapsyen berbaur perkauman di media sosialnya ketika Konsert AR Rahman berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video yang dimuat naik oleh pengguna @fatinamyralee itu sekitar pukul 5.15 petang, semalam.

“Ekoran laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Turut sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Zam Halim, sehingga kini percakapan saksi telah dirakam dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian tersebut.

Justeru itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam. 

Sementara itu, selain pengguna media sosial @fatinamyralee, dalam konsert penyanyi dan komposer legenda dari India di ibu negara baru-baru itu, seorang pemain hoki juga kini disiasat oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut meminta MSN mendapatkan maklumat daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi membantu siasatan mengenai perkara tersebut.

“Setelah saya mendapat pandangan daripada MSN kita akan buat keputusan. Jadi hari ini (Selasa) MSN akan bincang dengan KHM, saya juga telah maklumkan kepada Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden KHM),” katanya.

Sejak semalam tular di media sosial mengenai satu akaun Instagram dipercayai milik pemain hoki wanita negara itu, yang didakwa meninggalkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran berkaitan konsert tersebut.

Menyedari komen beliau itu disalah tafsir sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan netizen, akaun yang menggunakan nama @niezhanis itu juga telah memuat naik permohonan maaf di laman Instagram Story semalam.

“Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas,” katanya.

Beliau juga mengakui sedar akan implikasi komen tersebut membuatkan ramai pihak terkesan dan telah mengambil tindakan untuk memadam komen tersebut.

“Sepanjang penglibatan saya selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.

“Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, KHM dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan isu tersebut, awal minggu hadapan.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa displin mereka akan memanggil pemain terbabit untuk siasatan, sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan hantaran pemain tersebut di akaun sosial medianya.

“Dapatan daripada inkuiri itu akan dihantarkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan