25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pertandingan, majlis sekolah tidak beri impak pembelajaran dimansuh

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBARANG bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid akan dimansuhkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan beban tugas guru.

“Ia juga selari dengan teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk
tekanan yang dihadapi oleh para guru.

“Sebagai contoh, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik, dan yang seumpamanya akan dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Langkah lain yang turut diambil, katanya, mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

Selain itu, menurutnya, KPM juga mengambil langkah menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

“Lain-lain, pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Di samping itu, akan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja,” katanya.

Menurut Fadhlina, KPM juga menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

“KPM turut akan memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

“Kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024,” katanya.

Ujar beliau, KPM sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara.

“KPM juga akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan