MAYAT anggota Tentera Darat daripada Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang akhirnya ditemui di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pagi tadi.
Penemuan berkenaan adalah selepas 12 hari anggota berkenaan dikhuatiri lemas di Pulau Undan, Melaka pada 7 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, makluman awal mayat telah dijumpai di pantai bakau di Tanjung Sepat Banting, Selangor, namun pihaknya masih lagi menunggu laporan penuh.
“Setakat ini pihak polis positif ia merupakan komando yang dilaporkan lemas memandangkan baju selaman yang dipakai mangsa,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Ujar beliau lagi, mayat kini berada di Hospital Banting bagi proses bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan Edrin dikhuatiri lemas ketika sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam di kedudukan 0.7 batu nautika Barat Daya Pulau Undan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, turut bersama mangsa adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Pulpak Sungai Udang, Melaka.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama tujuh hari melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota Pasukan Selam Peperangan Khusus dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka, Pasukan Selam Ranjau, KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia.
Operasi itu kemudian diteruskan pasukan komando Tentera Darat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga hari ke-10 pencarian yang berakhir pada Selasa lalu.
-EDISI9

