34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Polis siasat Pemuda PAS berarak bawa objek berbentuk senjata

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta membawa objek berbentuk senjata pada perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Husain berkata, tindakan tersebut diambil selepas gambar perarakan tersebut yang dianjurkan oleh Pemuda Pas negeri tular di media sosial sejak semalam.

Menurutnya, pihak polis telah berhubung dengan wakil penganjur untuk dipanggil membantu siasatan, selain menunggu sekiranya terdapat laporan polis dibuat mana-mana individu mengenai perarakan tersebut.

“Polis sedang menyiasat keaslian objek berbentuk senjata itu yang dibawa peserta ketika perarakan berkenaan sama ada replika atau sebaliknya.

“Buat masa ini, kami masih menilai tindakan yang boleh diambil ke atas penganjur atau peserta berdasarkan peruntukan undang-undang dari sudut jenayah,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial gambar kira-kira 10 peserta Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak dan perisai ketika penganjuran program itu.

Aksi sekumpulan ahli Pemuda PAS berarak membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu yang tular di media sosial hari ini mencetuskan pelbagai reaksi warganet.

Bahkan, ada yang meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana mampu menimbulkan provokasi.

Advertisements

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa menegaskan,  program Himpit itu sudah diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan.

“Sudah menjadi tradisi perhimpunan itu juga dengan lapan ahli Pemuda PAS kawasan membawa replika mengikut tema perarakan masing-masing.

“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman, bahkan ada yang berkuda pada penganjuran Himpit kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Harun berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi pada program itu, malah sangat menarik apabila melihat kreativiti wakil Pemuda PAS kawasan mempamerkan idea masing-masing.

“Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini. Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen berlangsung dengan aman,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Harun berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada siasatan dibuat berkait perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai pada perhimpunan berkenaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Rondaan Maritim Malaysia jadikan perairan negara lebih selamat

PENINGKATAN penguatkuasaan dan rondaan yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjaga keselamatan perairan negara telah menjadikan...

Lagi Artikel Berkaitan