24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KDRKPM zahir kasih sayang KPM kepada institusi Diraja

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KONSERT Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia (KDRKPM) mampu menjadi platform berprestij untuk menzahirkan rasa penghargaan dan kasih sayang warga kementerian khususnya murid kepada institusi diraja dan negara.

KPM  dalam satu kenyataan berkata, penganjuran konsert itu juga memberi ruang buat warga pendidikan terutamanya murid dan guru untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka dalam seni persembahan merangkumi seni visual, muzik, tari dan teater.

Menurut kenyataan itu lagi, KDRKPM menggabungkan persembahan muzik orkestra dan lagu melalui pelbagai genre merentas zaman, nyanyian, tarian serta sisipan teater sebagai elemen jalinan penceritaan konsert mengikut segmen.

“KDRKPM merupakan acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 1997.  Konsert ini diadakan sebagai tanda menjunjung kasih warga KPM kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,” katanya hari ini.

KDRKPM dengan tema “Mulanya di sini…Cerita Cinta” diadakan bermula 23 Februari lalu sehingga hari ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

‘Cinta’ yang digambarkan melalui KDRKPM merupakan cerita cinta yang merangkumi seluruh batas kehidupan, iaitu cinta kepada yang Maha Esa, keluarga, sahabat, negara, masyarakat dan cinta antara dua orang insan.

Kemuncak kepada tema ini dapat dilihat menerusi segmen ‘1000 wajah’ yang menggambarkan kisah yang dihadapi oleh warga KPM khususnya guru dan murid dalam mengharungi cabaran dan dugaan pandemik Covid-19, banjir besar, ribut, pengorbanan murid dan guru di kawasan pedalaman.

Ujar kenyatan itu lagi, kemuncak konsert dipersembahkan khas untuk Yang di-Pertuan Agong, dan Raja Permaisuri Agong, barisan jemaah menteri, para diplomat dan kepimpinan tertinggi KPM.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan, melalui konsert itu juga, seni muzik dan kesenian digabungkan dengan pelbagai genre lalu dipersembahkan sebagai santapan jiwa.

Advertisements

Menurutnya, kombinasi unsur tradisi dan moden dalam muzik berjaya disatukan dalam konsert ini melalui latihan yang intensif dan disiplin diri yang kental.

“Semua ini menjadi tunjang kejayaan dalam memastikan KDRKPM dapat direalisasikan pada tahun ini.

“KDRKPM dijayakan oleh 248 orang jawatankuasa produksi yang terbahagi kepada enam iaitu pengurusan, teknikal, muzik, teater, tari dan vokal.

Ujar KPM,  sesi pemilihan untuk pemuzik, penyanyi, penari dan pelakon telah diadakan mengikut zon di seluruh negara bermula pada 29 Mac hingga 20 Julai tahun lalu.

Selain itu menruut KPM, penganjuran KDRKPM juga berjaya mengetengahkan bakat dan kreativiti murid dengan bimbingan guru mahupun pensyarah dalam perekaan dan penghasilan busana untuk penyanyi dan pemuzik.

“Sebanyak empat buah sekolah yang menawarkan subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dalam bidang fesyen telah dipilih bagi menjayakan produksi ini, iaitu Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahkota Muar, SMK Tengku Aris Bendahara Kluang, SMK Taman Seri Saujana Kota Tinggi dan Kolej Vokasional Muar.

“Pereka busana dalam kalangan guru dan pensyarah telah mendapat kerjasama dari Kolej Kemahiran Johor Batu Pahat, Kolej Komuniti Pagoh dan Universiti Pendidikan Sultan Idris,” katanya.

Konsert itu turut diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah dan Noraniza Idris.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan