DAKWAAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan agar menukar kenyataan sebagai satu tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut menerusi satu rakaman video yang ditularkan.
“Ini manusia tidak bertanggungjawab dan SPRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya hari ini.
Beliau mengulas mengenai rakaman seorang lelaki yang mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu itu agar menukar kenyataan bahawa beliau telah menerima arahan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima wang rasuah yang tular menerusi media sosial.
Azam berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung rakaman tersebut dan siasatan akan dijalankan.
Beliau menegaskan dakwaan itu merupakan fitnah dan individu terbabit merupakan seorang penipu dan manusia sedemikian yang merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM.
Hari ini, media melaporkan Wan Saiful menyifatkan tuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ke atasnya tidak sepatutnya berlaku dan sengaja dibuat bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap kegagalan kerajaan dalam menguruskan pelbagai isu yang timbul.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu. – Edisi 9

