AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Radzi Jidin mendakwa banyak inisiatif yang diperkenalkan kerajaan ketika ini hanya sekadar ‘copy paste’ pentadbiran-pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau yang mencelah ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, mendakwa ia termasuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Secara sinis beliau menyoal, inisiatif IPR hasil formula Menteri Ekonomi PH-BN ke?
Katanya, usaha membasmi kemiskinan yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, adalah antara perkara yang pernah disebut bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Peruntukan untuk menangani kemiskinan tegar yang disebut Anwar dalam ucapan Belanjawan 2023 sebenarnya telahpun disebut oleh Tengku Zafrul dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober 2022 yang lalu,” katanya menerusi Facebook.
Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, hakikatnya usaha menangani kemiskinan tegar telah dibentuk secara komprehensif dan menyeluruh oleh kerajaan terdahulu.
“(Ia) sewaktu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ‘champion’ kepada usaha ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed).
“Ini baru satu, banyak lagi inisiatif kerajaan yang hanya ‘copy paste’ pentadbiran-pentadbiran lepas. Sama-sama kita kupas lagi,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Oktober lalu Tengku Zafrul memaklumkan, sebanyak RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM250 juta bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar untuk tahun ini. – Edisi 9