26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 23, 2023

Bangunkan Wilayah Persekutuan jadi bandar raya unggul

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar kerajaan melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, titah itu dizahirkan Baginda bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.

Baginda turut menzahirkan harapan agar bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan.

Baginda bertitah, bantuan itu termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Seri Paduka Baginda bertitah usaha ini termasuk pemberian bantuan dan menjaga kebajikan rakyat miskin serta golongan yang terjejas pendapatan, menggiatkan usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.

Baca juga:   Lelaki guna duit i-Sinar bina 11 bonggol jalan mohon maaf
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan hadiri
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.

“Baginda turut menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” menurut hantaran itu.

Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” Seri Paduka Baginda bertitah.

Baca juga:   Projek runding terus manifesto PH 'makan diri' - Pemuda Pas

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam Istiadat itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 171 individu bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun 2023.

Mendahului senarai penerima istiadat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Kejar pahala, jangan siakan dengan pembaziran – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati umat Islam agar mengejar pahala bulan Ramadan serta tidak mensia-siakan bulan...

Lagi Artikel Berkaitan