29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

TH diiktiraf pembimbing haji terbaik dunia Islam

Anugerah ini juga adalah pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam lain.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi apabila merangkul Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pada persidangan itu yang berlangsung pada 9 hingga 12 Januari.

Menerusi kenyataan dikeluarkan TH hari ini, Mohd Na’im berkata, anugerah berkenaan amat bermakna khususnya apabila TH meraikan ulang tahun ke-60 pada tahun ini.

“Anugerah ini juga adalah pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam lain.

“Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadat haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran,” kata beliau.

Sementara itu, TH berkata, keupayaan institusi berkenaan dalam membimbing jemaah haji Malaysia agar mempunyai pengetahuan yang baik dalam ibadat itu sentiasa mendapat pujian dan diiktiraf pelbagai pihak khususnya kerajaan Arab Saudi.

Advertisements

“Setiap tahun, TH menganjurkan kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di Tanah Suci semasa jemaah haji mengerjakan ibadat itu.

“Secara keseluruhannya, TH sediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu jemaah.

“TH juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambah baik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam Malaysia semasa melaksanakan ibadat di Tanah Suci,” menurut TH.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 itu disertai oleh 56 negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh TH.

Turut hadir pada sesi penyampaian anugerah itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan pegawai TH di Arab Saudi.– BERNAMA

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan