27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Telur ayam import: Pembekal sama bagi temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu mendedahkan pengeluar bagi bekalan telur ayam yang diimport dari India merupakan pembekal telur ayam yang sama bagi temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar tahun lalu.

Bahkan ujar Mohamad, langkah Kerajaan mengimport telur ayam dari India kerana pengeluar dari negara itu dapat memenuhi dengan segera keperluan bekalan dikehendaki Malaysia.

“Kita buat keputusan untuk import dari negara itu kerana kita mahu buat cara segera dan kita pilih mana (pengeluar) yang memberi tawaran dengan cepat.

“Kalau kita mahu import cara biasa ia mungkin memakan masa kerana perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Menteri bersama warga MAFS, di Putrajaya, hari ini.

Mohamad berkata, bekalan telur ayam import dari Tamil Nadu, India juga sudah mematuhi pelbagai spesifikasi dan syarat diperlukan, tambahan lagi ia sudah mendapat kepercayaan untuk dibekalkan pada temasya Piala Dunia 2022 itu.

Advertisements

Menurutnya, import telur ayam dari India sedang berjalan, namun, langkah itu tidak lama dan akan dihentikan jika situasi bekalan di pasaran tempatan sudah stabil.

Baru-baru ini, Mohamad bersama delegasi MAFS sempat meninjau proses pengeluaran telur ayam di Namakkal, Tamil Nadu, India bagi memastikan telur yang diimport itu bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.

Ladang pengeluaran telur di Namakkal itu terletak lapan jam perjalanan darat dari lapangan terbang Chennai, Tamil Nadu, selatan India.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember tahun lalu bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya. 

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan