31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KKDW pacu transformasi TVET, lonjak modal insan kemahiran tinggi

MEXCLUB merupakan satu platform “engagement mechanism’’ antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bagi memperkasa agenda pembangunan luar bandar dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited menyediakan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang kukuh sebagai teras utama kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui ekosistem TVET yang kukuh, beliau percaya ia akan meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat.

“Pemerkasaan TVET ini antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat MEXCLUB kali ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai antara pilihan utama pendidikan dan kerjaya belia luar bandar selain menyentuh program-program berimpak tinggi TVET@KKDW.

“Sebagai contoh, program TVET Komuniti adalah sebahagian inisiatif TVET yang berbentuk kemasyarakatan untuk dibudayakan secara meluas di seluruh negara.

“Ini termaksuklah juga, program TVET Junior, Program TVET Tahfiz, Program TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET, Program Pendigitalan TVET yang akan menjadi kerangka asas KKDW memartabatkan TVET seterusnya memenuhi permintaan pasaran,”katanya di sini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Kali Ke-55 MEXCLUB.

Mesyuarat berkenaan menyentuh hala tuju pelaksanaan projek dan program pembangunan Kementerian yang berupaya meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar bagi mengatasi isu kesenjangan pendapatan juga peningkatan kos sara hidup.

MEXCLUB adalah platform perbincangan secara membina di antara Kementerian dan Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan persefahaman dalam melaksanakan agenda luar bandar berpandukan visi Malaysia Madani.

Ia juga selaras dengan konsep DESA di mana masyarakat desa akan diperkasa untuk mengambil peranan aktif dalam membentuk dan membangunkan masa depan mereka sendiri bagi membolehkan kawasan desa Malaysia memiliki akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi dan infrastruktur terbaik bersandarkan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

Ahmad Zahid berkata, bagi mencapai wawasan ini, KKDW akan merencana dan melaksanakan program dan projek kemajuan desa yang progresif melibatkan seluruh komuniti desa dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi, termasuk memastikan tadbir urus terbaik dalam pentadbiran Kementerian dan setiap agensi di bawahnya.

Beliau berkata, program pembangunan desa ini juga tidak hanya berpaksikan kepada pembangunan fizikal, namun turut diimbangi dengan pembangunan modal insan yang meliputi nilai, etika dan adab.

MEXCLUB kali ini dihadiri Exco Luar Bandar Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Perlis.

Manakala Exco Luar Bandar Sarawak diwakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak. Exco Luar Bandar Kelantan diwakili oleh Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan. Manakala Exco Luar Bandar Sabah diwakili oleh Pembantu Menteri II, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

MEXCLUB merupakan satu platform “engagement mechanism’’ antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bagi memperkasa agenda pembangunan luar bandar dan membincangkan isu-isu yang
berkaitan dengannya.

Selain berfungsi sebagai forum bagi menyelesaikan pelbagai
isu dan masalah dalam pelaksanaan projek, MEXCLUB juga berperanan
bagi mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar.

Tujuan mesyuarat kali ini diadakan adalah membentangkan kertas-kertas makluman berkaitan program pembangunan luar bandar yang memerlukan perhatian negeri-negeri bagi tahun 2023; membincangkan isu-isu dan cadangan-cadangan pembangunan luar bandar negeri-negeri yang memerlukan perhatian KKDW dan agensi-agensi pusat; membincangkan way forward pelaksanaan projek dan program
pembangunan Kementerian berdasarkan kelulusan Bajet Mini
KKDW 2023.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama Pendidikan dan kerjaya belia luar bandar, mesyuarat juga menyentuh berhubung programprogram berimpak tinggi TVET@KKDW; dan program-program latihan yang boleh ditawarkan untuk
memperkasakan kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran
institusi desa. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan