“JANGAN takut untuk laporkan segala perbuatan salah laku yang dilakukan pihak atasan,” itu pesan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua pegawai dan kakitangan penjawat awam.
Beliau menyeru agar penjawat awam berani untuk bersuara sekiranya mendapati salah laku pihak atasan yang menyalahi undang-undang.
“Penjawat awam juga boleh menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk dirinya sendiri, jika ia didapati melanggar peraturan,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Putrajaya, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, apa yang ingin ditekankan adalah dari segi penguatkuasaan.
“Apa yang telah saya pelajari, terutamanya di Kementerian Kewangan, banyak fail-fail, banyak keterlanjuran.
“Bagaimanapun, perbuatan salah laku itu tidak boleh disalahkan kepada penjawat awam kerana ada minit mesyuarat adalah arahan terus daripada menteri.
“Justeru, saya meminta penjawat awam berani bersuara melawan ketidakpatuhan sekurang-kurangnya haruslah dimaklumkan terlebih dahulu sekalipun arahan-arahan tersebut dikeluarkan oleh saya sendiri.
“Apatah lagi kalau melibatkan pegawai-pegawai di pejabat saya (JPM) dan menteri-menteri.
“Sebab tu arahan pertama saya dan minta menteri-menteri beri kerjasama adalah semua Setiausaha Sulit Kanan (SUK) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSUK) di Pejabat Perdana Menteri harus dari kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD),” katanya.
Menurutnya, negara tidak boleh menuju sebagai sebuah negara berjaya jika terdapat kebocoran dan ketirisan begitu banyak melibatkan pemberian komisen terlalu tinggi dan harga tidak berpatutan dalam mengendalikan kontrak kerajaan.
Sementara itu dalam perkara berkaitan, Anwar berkata, barisan jemaah menteri dan penjawat awam diseru untuk terus membulatkan kerjasama dalam usaha mewujudkan sistem pentadbiran lebih baik dan telus.
“Persefahaman itu merupakan satu tekad agar wujud sebuah kerjasama dalam mengurus negara lebih-lebih lagi jika mahu melakukan sebarang pembaharuan.
“Semalam kita ada pemukiman menteri-menteri, itupun sepanjang hari, tetapi ada kelainannya, pertama bukan sahaja (mendengar) pandangan menteri, tetapi kita undang Ketua Setiausaha Negara, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan ketua-ketua jabatan.
“Ini belum selesai, belum ada Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain tentang bidang tugas dan peranan masing-masing supaya ada persefahaman yang baik,”katanya. – Edisi 9