HARGA minyak masak tulen kemasan botol bagi kuantiti satu hingga lima kilogram (kg) dikekalkan bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari ini.
Harga tersebut kekal walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia, mengalami peningkatan sejak Disember lalu.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, minyak masak botol bagi 1kg kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90.
“Penetapan ini adalah hasil kerjasama pihak industri minyak masak yang bersetuju untuk mengekalkan harga sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Salahuddin lagi, kerajaan menerusi KPDN menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.
Menurut beliau, kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak, berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.
“Mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.
-EDISI9