32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Zahid mulakan tugas di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memasuki pejabat bagi memulakan tugas hari pertama beliau sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri tiba di pejabat kementerian itu pukul 12.15 tengah hari ini dan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ramlan Harun serta pihak pengurusan tertinggi.

Zahid kemudiannya mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi beliau.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seterusnya menandatangani buku Selamat Datang dan Selamat Bertugas di pejabatnya serta menghadiri sesi taklimat kementerian.

Di sebelah pagi, Zahid telah merakam waktu di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra.

Beliau kemudiannya menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid yang juga Presiden UMNO mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Sabtu.

Beliau antara lima ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dilantik ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, kementerian itu diterajui oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden UMNO.

Mahdzir bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya di Parlimen Padang Terap. – Edisi 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan