JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akhirnya mengesahkan perpindahan Safawi Rasid ke Liga Thailand secara pinjaman.
Berita berkenaan diumumkan dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial JDT.
Mengikut hantaran berkenaan, Safawi dan seorang lagi pemain import, Moussa Sidibe akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC.
Pengarah Teknikal JDT, Hector Bidoglio dalam hantaran itu mengucapkan maju jaya buat kedua-dua tonggak terbabit.
“Kelab Bolasepak JDT telah mencapai persetujuan dengan pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC untuk meminjamkan Safawi Rasid dan Moussa Sidibe.
“Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Safawi akan berhijrah melebarkan sayap ke Liga Thailand selepas berakhirnya saingan Piala AFF pada Januari depan.
Pengesahan itu dibuat Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana yang disiarkan oleh media portal antarabangsa, Main Stand-International hari ini.
Menurut laporan itu, segala perbincangan sudah dimuktamadkan dan tonggak sayap JDT dan Harimau Malaya itu bersetuju menyertai kelab itu.
Difahamkan, Safawi yang baharu melangsungkan perkahwinan akan mengisi kuota pemain ASEAN di kelab itu.
-EDISI9