34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Muhyiddin jawab isu seleweng dana RM600 bilion

Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan

Mesti Baca

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tampil menjawab tuduhan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion sehingga laporan polis dibuat terhadapnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak pasti daripada mana angka tersebut dipetik tetapi dipercayai berkaitan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksana semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pakej-pakej rangsangan ekonomi itu dilaksanakan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemil Covid-19.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin berhubung isu tersebut:

Ahli Parlimen Hulu Langat daripada parti Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis terhadap saya kononnya saya telah menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital juga membuat tuduhan yang sama terhadap saya.

Sebelum itu, beliau membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan polis supaya menyiasat Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas dakwaan menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

PDRM kemudiannya menafikan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang disiasat.

Nampaknya, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka. This is a clear attempt at silencing dissent.

Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.

Apapun, saya tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka. Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat.

Muhyiddin Yassin bermesra dengan orang ramai yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV KLCC. – Sumber: FB KLCC

Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu “dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun”.

Berbalik kepada tuduhan penyelewengan dana sebanyak RM600 bilion, saya tidak pasti dari mana angka ini dipetik.

Saya agak ia merujuk kepada 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.

Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.

Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.

Menurut kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion.

Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar.

Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun.

Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.

Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?

Negara kita mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan. Kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan.

Jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya Agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua 8 Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Awak dah jadi kerajaan, act like a government.

Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka.

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan