26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Jadikan selenggaraan berkala sebagai norma kerja – Anthony

Amalan sedemikian dapat menjamin kelangsungan perkhidmatan terutama pengangkutan awam yang disediakan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mahu penyelenggaraan berkala mesti dibudayakan sebagai norma kerja seluruh warga kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Beliau berkata, amalan sedemikian dapat menjamin kelangsungan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan dan mengelak berlaku kerosakan yang berterusan.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha memperbaiki kemudahan sistem pengangkutan awam diteruskan.

“Penyelenggaraan berkala demi menjamin kelangsungan perkhidmatan mesti dibudayakan sebagai norma kerja seluruh warga kementerian serta agensi-agensi kami,” katanya hari ini.

Anthony mengeluas kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd yang memaklumkan fasiliti lif dan 10 eskalator di stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang sebelum ini rosak kini mencapai 99 peratus dan 100 peratus pulih.

Manakala kerja-kerja membaik pulih kebocoran di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel juga telah berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesai secara berperingkat menjelang Jun 2023.

Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad itu berkata, kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah satu peratus.

“Prasarana Malaysia Berhad turut menambah 18 unit lif dan 39 unit kerusi roda di stesen monorel bagi memenuhi keperluan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Aktiviti penyelenggaran sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan fasiliti yang disediakan untuk pengguna berada dalam keadaan yang baik.

“Kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki.

“Projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Selain itu, Rapid Rail berkata, setakat 15 Disember lalu, proses penggantian 20 unit ‘handrail‘ dan tiga unit ‘stepchain‘ di 10 stesen MRT telah disiapkan dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi.

Mengenai kebocoran di stesen dan kerja-kerja baik pulih di stesen MRT, perbincangan bersama pihak MRT Corporation (MRTC) selaku pemilik aset telah dijalankan.

“Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.

“Terdapat lokasi kebocoran yang memerlukan lebih masa untuk diselesaikan kerana pembaikan tersebut melibatkan modifikasi kepada struktur atap,”katanya.

Syarikat itu turut menyentuh mengenai sistem pencahayaan di stesen yang mana kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai.

“Baki lampu yang masih tidak berfungsi merupakan kerosakan baru dan penggantian segera akan dilakukan,”katanya.

Anthony sebelum ini telah melakukan tinjauan perkhidmatan LRT dan MRT secara penyamaran sejurus dilantik sebagai Menteri Pengangkutan buat kali kedua.

Ia ekoran aduan orang awam terutama pengguna perkhidmatan tren di Lembah Klang berhubung pelbagai kerosakan pada stesen-stesen LRT, MRT dan Monorel terutama berkaitan lif dan eskalator.

Pada November lalu, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami beberapa mengalami gangguan perkhidmatan ekoran kerosakan menyebabkan ribuan pengguna terjejas.

Pada 14 Oktober lalu, Rapid Rail memaklumkan sebanyak 22 daripada 362 unit lif tidak berfungsi dan 49 daripada 707 eskalator juga mengalami masalah sama (tidak berfungsi). – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan