25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

KPM aktifkan MPPK, tambah baik sistem pendidikan negara

KPM juga akan menumpukan tujuh teras utama dalam usaha untuk memperkasakan sektor pendidikan negara termasuk isu keciciran pembelajaran, kebajikan guru dan naik taraf sekolah daif.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi menyumbang idea untuk menambah baik sistem pendidikan negara seperti yang telah termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu sebagai usaha untuk memperoleh idea serta pandangan kepada KPM dalam merangka hala tuju pendidikan negara dengan lebih baik.

“Saya akan mengambil pendekatan yang lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak yang berkepentingan.

“Pada masa sama akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dapat dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996.

“Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Fadhlina memberitahu, individu yang akan membarisi MPPK akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat murid ceria, guru bahagia dan ini akan jadi keutamaan KPM. Oleh itu KPM akan bekerjasama rapat dengan semua pihak terlibat bagi memastikan hasrat ini tercapai,” tambahnya.

Antara yang akan bekerjasama untuk melaksana inisiatif berkenaan termasuk Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) dan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKM).

Dalam pada itu, pada sidang akhbar yang sama, Fadhlina turut memaklumkan KPM akan menumpukan tujuh teras utama dalam usaha untuk memperkasakan sektor pendidikan negara termasuklah isu keciciran pembelajaran, kebajikan guru dan naik taraf sekolah daif.

Kata beliau, soal komunikasi antara Kementerian dan sekolah akan diperkukuh bagi memastikan tiada jurang mahupun birokrasi terhadap pihak terlibat.

“Ini termasuklah Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli, dan Kaunter Khidmat Pelanggan. Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan,”katanya.

“Selain itu, KPM akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurutnya, isu keciciran murid dalam pendidikan juga akan diberikan perhatian terutamanya masalah literasi dan numerasi bagi merapatkan jurang dalam pendidikan negara.

Mengulas lanjut, katanya, KPM juga akan mengutamakan kebajikan warga pendidik berikutan golongan itu merupakan teras utama dalam pendidikan.

“Oleh itu, saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi guru akibat bebanan tugas dan berada berjauhan dari pasangan,” jelasnya.

Melihat kepada sebahagian sekolah yang masih memerlukan perubahan infrastruktur, katanya, KPM juga akan meneliti sekolah-sekolah yang perlu dinaik taraf khususnya di Sabah dan Sarawak.

Ujar Fadhlina lagi, keupayaan pendidikan digital turut akan dipertingkat termasuk menjalin kerjasama dengan pihak terlibat, selari dengan arus perubahan teknologi semasa. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan