28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muafakat Nasional tak terbabit gerakan politik

Keahlian MN terbuka kepada semua, termasuk ahli parti politik, dan sudah menerima penyertaan hampir mencecah 20,000 orang, setakat hari ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan MN kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terbabit dalam gerakan politik.

Beliau berkata MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.

Menurutnya, keahlian MN terbuka kepada semua, termasuk ahli parti politik, dan sudah menerima penyertaan hampir mencecah 20,000 orang, setakat hari ini.

“Antara yang menjadi ahli dan dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN ialah Datuk Seri Tengku Idris Sultan Abu Bakar; bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Selain itu, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof serta Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin,” katanya pada sidang media di pejabat MN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ujar beliau lagi, MN boleh memainkan peranan, di mana anggotanya adalah daripada pelbagai parti dan sebagaimana NGO lain, sekadar yang termampu.

“Harus ada usaha tersusun untuk melatih rakyat, terutama generasi muda supaya dapat memahami… yang mana jika rasa bertanggungjawab mahu membangunkan negara, kita menanam nilai ini dengan cara teratur.

“Kita tidak akan menjadi satu badan yang glamor, kaya-raya, kuat serta mengancam sesiapa. Kita mahu mengambil pendekatan positif dan konstruktif,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Annuar berkata, antara inisiatif awal MN ialah melancarkan Sekolah Memahami Pemahaman Negara (SEMPURNA) yang meliputi semua elemen nasionalisme tinggi berteraskan prinsip Rukun Negara.

Ditanya sama ada MN akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang menghimpunkan parti politik dan NGO pula, Annuar berkata, MN tidak akan memasuki mana-mana gabungan politik.

“Itu pendirian kita. Kalau kita buat begitu, ia akan melanggar (peraturan) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Jadi, kita akan kekal sebagai NGO. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan atau sesiapa saja demi kebaikan negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan