KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, langkah berkenaan diambil melihat kepada Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes COVID-19 dari luar negara.
“Ditambah pula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa yang dilaporkan berlaku di negara China, yang melibatkan peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam sidang media terkini pada 21 Disember lalu.
“Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa China sekitar awal Disember ini melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik COVID-19,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.
“KKM menggesa semua individu yang layak tampil mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19.
Katanya, selain itu, mengukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan.
“Memastikan semua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi secara fizikal (iaitu di Klinik Kesihatan dan di komuniti) mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan/panggilan pesakit yang tinggi.
“Memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) ke dalam COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April 2022 dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM,” katanya.
Beliau berkata, langkah lain adalah memantau rapi penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara.
“Menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun 2022 di semua peringkat. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatan.
“ANMS turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula pada 1 April lalu semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.
“KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,”katanya.
Terdahulu, kata beliau, KKM mengambil maklum mengenai situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa.
“Berdasarkan data COVID-19 semasa yang dilaporkan kepada WHO, tren kejadian pandemik ini telah berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara seluruh dunia.
“WHO juga yakin bahawa kini situasi tersebut adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya. – Edisi 9