24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bersatu hantar notis kosongkan 4 kerusi Parlimen di Sabah

Susulan kenyataan Hajiji bahawa kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar daripada parti itu.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan empat Ahli Parlimen Sabah dari parti itu yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, notis itu adalah bagi memastikan telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota Bersatu.

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu, ” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, kenyataan pengerusi GRS yang juga pengerusi Bersatu Sabah ketika itu, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada parti Bersatu akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU15.

“Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2022, Hajiji telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar daripada parti itu.

Advertisements

“Keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Parlimen Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang),” katanya.

Ahli Parlimen Beluran itu turut berkata, pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu, keempat-empat ahli Parlimen itu telah berada di blok kerajaan.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin merangkap Presiden Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah crossing the floor dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Disember 2022,” katanya.

Justeru kata beliau, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

“Selanjutnya telah dipohon juga kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut,” tegasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan