27.3 C
Kuala Lumpur
Friday, February 3, 2023

3 lelaki guna dron seludup barang terlarang ke penjara ditahan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA lelaki yang dipercayai cuba menyeludup barang terlarang ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dengan menggunakan dron pada 12 Disember lalu berjaya ditahan polis.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh pusat pemulihan akhlak pada jam 1.05 pagi hari berkenaan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dron berkenaan dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan penjara.

“Hasil tindakan segera dan siasatan bersama pihaknya dengan Penjara Machang mendapati teknologi peranti pengesan yang digunakan pengendali dron berjaya dikesan di kawasan berdekatan dengan penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.

“Serbuan yang dijalankan oleh pihak polis di lokasi yang dikesan berjaya menjejaki tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun yang bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Baca juga:   Mana RM15 juta wang jualan permit Utusan, Kosmo?

Muhamad Zaki berkata, bagaimanapun semua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan lima unit telefon bimbit, dua unit ‘power bank’, satu bilah parang, 20 biji mercun bola, satu bilah badik, satu gulung ‘doubletape’, satu bungkus pengikat kabel, satu bilah sabit, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

Baca juga:   Fungsi radio akan terus relevan - Ismail Sabri

“Selain itu, turut ditemui ialah satu gulung plastik pembalut, satu alat kawalan jauh dron model rc123, 13 bungkusan tembakau, tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan dan siasatan lanjut dijalankan atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

“Pada 19 Disember lalu mereka dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Pada 20 Disember, seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

Baca juga:   Kes HFMD di Kelantan meningkat kepada 522 kes

“Suspek mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah satu kesalahan.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Akaun beku: Bersatu perlu belajar daripada UMNO – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menasihati Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk...

Lagi Artikel Berkaitan