30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan teliti semula Bajet 2023 – Ahmad Maslan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN akan meneliti semula Bajet 2023 dalam merangka bajet baharu yang merangkumi manifesto semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, urusetia khas bajet baharu akan mempertimbangkan manifesto parti-parti tersebut yang positif untuk dinilai dalam usaha menambah baik Bajet 2023 baharu itu.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan tiada halangan meneruskan beberapa kandungan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

“Ada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadikan dua pertiga. Majoriti parti-parti itu ada manifesto yang baik-baik untuk dilaksanakan. 

“Ada dalam bajet yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini dan tiada halangan untuk meneruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pejabat Kastam Kemaman Terengganu, hari ini.

Ahmad memberitahu, beliau akan membincangkan hal-hal mengenai Bajet 2023 di pejabatnya pada 3 Januari depan.

“Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Bajet 2023 yang baharu pada 24 Februari depan.

“Tentunya perkara yang baik akan dibawa dalam Bajet 2023 dan kita serahkan kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan untuk memutuskan apakah tema bajet itu dan kandungannya,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan