24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, February 3, 2023

Dadah: Farid Kamil terlepas hukuman penjara

Hukuman penjara sembilan bulan diketepikan dan diganti dengan hukuman denda RM5,000.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PELAKON dan pengarah popular, Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir oleh Farid Kamil, 41, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Bagaimanapun, Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas Farid Kamil, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Farid bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Kamaludin dalam keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Beliau berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan hukuman berkenaan setimpal dengan kesalahan dilakukan ketika itu serta tiada aspek pemberatan, contohnya tidak ada kesalahan lampau atau sebagainya.

Baca juga:   'Tahniah Damok, syabas anak muda' - Muhyiddin

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung pada fakta kes itu.

“Dalam kes ini, kami mendapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu, serta memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan bawah AADK dikekalkan,” katanya.

Baca juga:   5 maut, 13 cedera kereta rempuh pejalan kaki di China

Yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ’11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

Farid Kamil dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang 11 Januari 2018.

Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

Turut hadir di mahkamah ialah isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle, dan adik Farid Kamil, Fadzil.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda, menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai pada peringkat rayuan.

“Kini, saya boleh memfokus penggambaran filem seterusnya berjudul ‘Anwar’ yang kini berada pada peringkat akhir dan bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya.

Baca juga:   Isa Samad dapat sementara pasport hadiri konvokesyen anak tiri

Farid Kamil diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang. 

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Cerun runtuh: Jalan depan Balai Polis Senawang ditutup sementara

JALAN Persiaran Senawang 3 (N035) berhadapan Balai Polis Senawang, ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan akibat cerun runtuh di...

Lagi Artikel Berkaitan