34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tempoh buang undi di Semenanjung Malaysia ditambah sejam

Ini merupakan antara penambahbaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TEMPOH masa pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang bagi Semenanjung Malaysia akan dipanjangkan selama sejam iaitu bermula pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi Sabah dan Sarawak pula tempoh mengundi adalah antara pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 petang.

“Ini merupakan antara penambahbaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus,” jelasnya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang ingin tahu penambahbaikan yang dibuat SPR bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi serta menjamin ketelusan proses mengundi pada PRU-15 dan seterusnya.

Tambah Wan Junaidi, antara langkah penambahbaikan lain yang telah dilakukan ialah penambahan saluran khusus bagi pengundi 60 tahun ke atas dan warga kurang upaya.

Selain itu menurut beliau, terdapat juga penambahan pusat mengundi dan saluran, bagi tujuan mengelakkan kesesakan, ekoran penambahan pengundi daripada pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.

“SPR dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kesalahan dan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang berlaku sebelum, semasa dan selepas tempoh berkempen oleh mana-mana parti atau calon.

“Sebarang aduan kesalahan dan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat, katanya lagi, sewajarnya diajukan kepada pihak SPRM dan PDRM untuk tindakan susulan,” jelasnya lagi 

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan