34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Larangan Ahli Parlimen bertukar parti mula 12 tengah malam ini

Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri, tertakluk perkenan Sultan, Tuan Yang Terutama atau Raja negeri berkenaan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DULI Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan)(No. 3) 2022 iaitu peruntukan mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti bermula esok (5 Oktober) atau 12 tengah malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited memastikan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang digubal dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi kepada Ahli Dewan Rakyat yang dipilih ketika proses pilihan raya.

“Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September 2022.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663”, katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Ujar Wan Junaidi lagi, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] ini telah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga (2/3) di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat seramai 209 orang dan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 dengan sokongan majoriti seramai 52 orang Senator.

“Dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] mulai 5 Oktober 2022, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

“Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri, tertakluk perkenan Sultan, Tuan Yang Terutama atau Raja negeri berkenaan,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

Pada 9 Ogos lalu, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan