32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

10 klinik gigi palsu diserbu tahun ini

Ia salah satu tindakan yang dibuat KKM bagi membanteras isu doktor gigi palsu yang menawarkan perkhidmatan kepada orang awam.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan serbuan ke atas 10 klinik yang menawarkan perkhidmatan pemasangan gigi palsu pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kesemua serbuan itu dibuat sejak penguatkuasaan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) bermula awal tahun ini.

“Ini adalah salah satu tindakan yang dibuat KKM bagi membanteras isu doktor gigi palsu yang menawarkan perkhidmatan mereka kepada orang awam.

“Baru-baru ini juga, kita ada buat serbuan di sebuah klinik doktor palsu di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya lapor Kosmo! selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan berkala terhadap klinik-klinik gigi yang disyaki dikendalikan oleh doktor gigi palsu.

Sehubungan itu, Khairy meminta orang ramai membuat aduan kepada KKM sekiranya mengesyaki klinik-klinik ini terdapat di kawasan mereka.

“Sekiranya didapati bersalah, denda maksimum RM300,000 boleh dikenakan kepada pesalah.

“Denda yang dikenakan sangat tinggi jadi saya harap, doktor gigi palsu ini berhenti lah menawarkan perkhidmatan mereka kepada orang awam,”katanya.

Sementara itu, mengenai lawatan itu, Khairy berkata, Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

“Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

“Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini.

“Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

Khairy berkata, projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur.

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan