29 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 26, 2024

Siapa penerus legasi Parlimen Pekan? Yana atau Nizar?

Jika dilihat latar belakangnya, kedua beradik berlainan ibu ini mempunyai pengaruh dan kredibiliti mereka sendiri.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerusi Parlimen Pekan yang begitu sinonim dengan keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak pasti mencuri tumpuan.

Mana tidaknya, bekas Perdana Menteri itu tidak mungkin menjadi calon bagi kerusi Parlimen tersebut dalam PRU-15 nanti susulan sedang menjalani hukuman selama 12 tahun di Penjara Kajang.

Walaupun petisyen pengampunan telah difailkan Najib mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, ia hampir mustahil untuk mendapat Pengampunan Diraja dalam masa yang begitu singkat.

Permohonan Pengampunan Diraja buat Najib telah difailkan oleh Tetuan Shafee pada 2 September lalu.

Namun menyingkap sejarah Parlimen Pekan, kerusi berkenaan sudah begitu sebati dengan keluarga Najib apabila mula dipegang sejak 1959.

Bermula dengan bapanya yang juga Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan kemudian diisi oleh Najib selepas kematian bapanya.

Hanya satu penggal sahaja Najib tidak bertanding di Parlimen Pekan iaitu pada tahun 1982 kerana ketika itu beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Pekan dan menjadi Menteri Besar Pahang Ke-11.

Persoalannya sekarang, siapa bakal mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pekan yang ditinggalkan oleh Najib?

Mohd Nizar aktif dalam politik sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan.

Apa yang pasti dua nama anak Najib disebut-sebut untuk dicalonkan di Parlimen Pekan iaitu Nooryana Najwa dan Datuk Mohd. Nizar yang dikatakan bakal menjadi pelapis kepada Najib.

Jika dilihat latar belakangnya, kedua beradik berlainan ibu ini mempunyai pengaruh dan kredibiliti mereka sendiri.

Nooryana, 34, atau lebih mesra dipanggil Yana oleh bapanya, bukanlah calang-calang orangnya kerana wanita ini merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Harvard University pada tahun 2019.

Yana juga adalah cahaya mata sulung hasil perkahwinan Najib dengan Datin Seri Rosmah Mansor.

Selepas, Najib dijatuhkan hukuman penjara, laman media sosial Instagram Yana menjadi tumpuan pengikut bekas Perdana Menteri itu.

Advertisements

Perkongsiannya sering sahaja menyentuh hati pengikut bapanya yang mesra digelar ‘Bossku’ manakala ucapan Yana dalam mana-mana majlis sentiasa dinanti-nantikan.

Sejurus Najib dijatuhkan hukuman, Yana memuat naik pesanan daripada bapanya agar dia dan keluarganya meneruskan perjuangan mereka.

“Kata-kata terakhir beliau kepada kami sekeluarga dan penyokong rapat adalah ‘perjuangan kami, kita teruskan’. Kita akan buat yang terbaik bukan sekadar untuk Bossku tetapi juga untuk BN, UMNO dan rakyat,” kongsi Yana.

Yana dilihat sebagai wanita yang mampu menyentuh emosi pengikut Najib, bukan hanya di Parlimen Pekan bahkan di seluruh negara.

Semalam, Yana sempat berkongsikan amanat bapanya di penjara ketika hadir pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Klebang, Melaka.

“Ayah yakin hanya UMNO dan BN yang mampu memberikan dan mengekalkan kestabilan dan turut meminta semua ahli kekal bersatu dan bersama hingga ke garisan penamat, kerana kejayaan PRU-15 boleh jadi milik kita,” ucapnya. 

Selain Yana, nama Mohd. Nizar lebih dahulu disebut-sebut sebagai pelapis bapanya memandangkan beliau kini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan sejak tahun 2018.

Nizar, 44, yang merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidup Najib dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, menang tanpa bertanding pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian itu.

Walaupun nama Nizar disebut-sebut sebagai bakal calon Parlimen Pekan menggantikan bapanya, namun nama adiknya, Yana tidak boleh dilupakan.

Biarpun tidak mempunyai jawatan dalam parti, namun sejak akhir-akhir ini Yana banyak bergerak mendekati masyarakat dan tidak mengejutkan sekiranya beliau menjadi calon di Pekan.

Apapun, UMNO Pekan sudah pasti menunggu isyarat daripada Penjara Kajang sebelum membuat keputusan memilih calon terbaik bagi PRU-15.

Siapa pun yang dipilih sudah pasti mereka akan membawa bukan sahaja legasi bapanya, Najib namun jauh daripada itu adalah legasi datuknya, Razak.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Masters Malaysia: Hajat Zii Jia tidak kesampaian

HAJAT perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk meraih kejuaraan kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain No....

Lagi Artikel Berkaitan