28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KPM akan terus tambah baik sistem taksiran, penilaian murid

Pelaksanaan PBD secara berterusan yang melibatkan pentaksiran formatif dan sumatif dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) melibatkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Katanya, dalam konteks Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), guru memantau perkembangan kemajuan dan penguasaan murid dalam proses pembelajaran termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

“Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran.

“Pelaksanaan PBD secara berterusan yang melibatkan pentaksiran formatif dan sumatif dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas yang kukuh untuk mengikuti pembelajaran pada peringkat yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik – Pas) di Dewan Rakyat hari ini.

Tuan Ahmad Tarmizi bertanyakan tentang keberkesanan kaedah penilaian penguasaan dan pencapaian murid yang diukur melalui pentaksiran secara sumatif dan dijalankan pada akhir tahun memandangkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan.

Radzi berkata, pentaksiran formatif dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sebagai sebahagian daripada pembelajaran bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid.

“Pentaksiran sumatif pula dilaksanakan untuk menilai pencapaian murid dalam satu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran. Salah satu komponen pentaksiran sumatif adalah ujian akhir tahun atau kini dikenali sebagai ujian akhir sesi akademik.

Katanya, mulai tahun 2022, ujian akhir sesi akademik ditambah baik melalui penyediaan soalan yang setara standardnya oleh KPM bagi murid Tingkatan 1 hingga 3.

“Soalan tersebut disediakan oleh guru yang berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

“Pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini,”katanya menjawab Pertanyaan Lisan Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 hari ini.

Tambah Radzi, panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru dengan penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik yang akan membolehkan KPM melihat standard pencapaian murid di seluruh negara.

“Ini akan membantu KPM merangka pendekatan yang bersesuaian sekiranya terdapat trend yang menunjukkan pencapaian bagi kohort atau kumpulan tertentu yang memerlukan intervensi khusus.

Selain itu, katanya, mengambil kira soalan yang setara standardnya di seluruh negara, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan oleh guru dan ibu bapa bagi mengoptimumkan potensi setiap murid.

“Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah.

“Guru juga boleh menggunakan maklumat diperoleh daripada pelaporan pentaksiran sumatif tersebut untuk merancang dan melaksanakan strategi yang lebih konstruktif dan bermakna bagi menggalakkan penglibatan aktif murid dalam pembelajaran.

“Ini seterusnya membantu meningkatkan penguasaan dan pencapaian mereka,” katanya.

Ujar beliau, KPM yakin bahawa pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh.

PBS mula diperkenalkan lebih sepuluh tahun yang lalu, iaitu mulai tahun 2011 pada peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 pada peringkat sekolah menengah.

Pentaksiran bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.- Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan