DUA individu maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang di Jalan Cheras, dekat Taman Mutiara Barat, Kuala Lumpur, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 6.42 pagi, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
Menurut Komander Operasi, Mohd Ridzuan Ahmad, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras bersama dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna terbabas dan melanggar tiang jalan.
“Terdapat lima mangsa lelaki tersepit. Mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 7.06 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohd Ridzuan lagi, dua orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di tempat kejadian dan tiga orang mangsa cedera.
“Tiga orang mangsa yang cedera dihantar ke hospital,” katanya.
-EDISI9

