31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dua beradik maut terkena renjatan elektrik di hadapan rumah

Kedua-dua jenazah masih berada di Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DUA beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain di hadapan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor semalam.

Dalam kejadian tersebut, adik Adam Harish Zamri , 11, dan Adam Haziq Zamri, 10, yang maut merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi.

Berita sedih berkenaan dimaklumkan dalam hebahan dalaman Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Baru Bangi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa anak-anak murid SKBBB telah kembali ke rahmatullah pada petang hari Jumaat yang mulia disebabkan terkena renjatan elektrik sewaktu bermain di hadapan rumah mereka,” katanya hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua PIBG SK Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah terbabit sedang bermain air di luar rumah pada petang Jumaat selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.

“Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

“Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

“Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Wayar elektrik yang ada pada bumbung rumah dan bersambung dengan ampaian baju menjadi punca kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik. FOTO: Media Sosial

Dalam pada itu, Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa ketika ini masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat sini.

Ujarnya, buat masa ini, pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

“Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.

Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan