24.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

Tiga kementerian bincang usaha bantu pekebun kecil

Perbincangan seterusnya akan diadakan pula dengan Kementerian Kewangan, minggu depan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, bagi syor membela nasib penoreh getah yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perbincangan seterusnya akan diadakan pula dengan Kementerian Kewangan, minggu depan.

“Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.  

“Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan dari kerajaan buat mereka.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad, hari ini.  

Isnin lalu, Mahdzir berkata dua syor akan dikemukakan pihak kementeriannya kepada Perdana Menteri untuk membela nasib penoreh getah di negara ini.

Baca juga:   KPLB peruntuk RM80 juta buat Dasar Keselamatan Makanan Negara

Syor pertama adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Manakala syor kedua adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 ketika ini kepada RM3.

Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.

Ditanya mengenai jumlah pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memohon untuk menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga, Mahdzir berkata terdapat permohonan sedemikian sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

Baca juga:   JPKM bantu 25,000 pelajar B40 luar bandar masuk IPT

“Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi.

“Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar,” katanya.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan