29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sindiket sembunyi dadah dalam mesin acuan industri

Rampasan keseluruhan sebanyak 676 kilogram dadah bernilai RM40.56 juta.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TAKTIK sindiket dadah dengan membalut bahan terlarang itu di dalam bungkusan teh cina dan menyembunyikannya di mesin acuan industri bagi mengaburi pihak berkuasa tidak berjaya apabila kegiatan berkenaan berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas sepasukan anggota kastam Cawangan Narkotik telah menyita sebuah kontena bersaiz 40 kaki pada pukul 12 tengah hari, 10 September lalu di Pelabuhan Barat dekat Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut menjumpai 676 bungkusan teh yang dibaluti bungkusan aluminium mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 676 kilogram bernilai lebih kurang RM40.56 juta.

“Modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara menyembunyikan bungkusan-bungkusan dadah tersebut di dalam mesin acuan industri berkapasiti besar,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai hari ini, lapor Utusan.

Menurut Zazuli, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Pelabuhan Klang ketika serbuan selepas dia mengaku sebagai ejen yang mewakili pemilik kontena tersebut.

“Siasatan awal mendapati kontena tersebut akan dieksport ke Australia, namun dari mana dadah itu diperoleh masih dalam siasatan pihak JKDM.

“JKDM tidak menolak kemungkinan lebih banyak suspek akan ditahan dalam masa terdekat berdasarkan penemuan baharu dan siasatan lanjut yang sedang dijalankan,” katanya.

Jelas beliau, suspek telah ditahan reman selama 12 hari bermula 11 September lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebetan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan